INTEGRASI KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MATEMATIK: ANALISIS KEPERLUAN GURU (Integration of Higher Order Thinking Skills in the Teaching and Learning of Mathematics: Teachers' Needs Analysis)

Nooriza Kassim, Effandi Zakaria

Abstract


Matematik ialah antara subjek yang terpenting dalam usaha pembangunan modal insan abad ke-21. Selari dengan itu, transisi dalam pendidikan matematik daripada penekanan kemahiran algoritma kognitif kepada kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) telah memberi kesan kepada pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran matematik. Peranan guru adalah amat penting dalam menentukan kejayaan aspirasi ini. Namun demikian, pemikiran aras tinggi dalam kalangan guru di Malaysia masih amat rendah dan pengajaran dan pembelajaran matematik masih bersifat prosedural yang menekankan algoritma. Justeru itu, kajian ini bertujuan melakukan analisis keperluan guru terhadap integrasi KBAT dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Analisis keperluan ini antaranya bertujuan untuk menentukan kesediaan, masalah dan keperluan guru dalam melaksanakan pengajaran matematik melalui integrasi KBAT di peringkat sekolah rendah. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan reka bentuk kajian kes. Data kajian dikumpul menggunakan kaedah temu bual yang melibatkan 4 orang guru yang mengajar matematik di dua buah sekolah rendah. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kesediaan guru dalam aspek pelaksanaan dan pengetahuan masih belum mencukupi. Pengetahuan asas murid, kesukaran murid memahami soalan beraras tinggi dan kesukaran guru membina soalan beraras tinggi adalah masalah yang dikenalpasti dihadapi oleh guru. Keperluan guru yang dikenalpasti ialah kursus KBAT yang mengkhusus kepada subjek matematik, modul, bahan maujud dan bahan sumber.

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.


Copyright@ Faculty of Education, Universiti Kebangsaan Malaysia (ISSN:2231- 9425)